Khamis, 1 November 2012

I CITY JERANTUT TERCEMAR!


JERANTUT - Kos penyelenggaraan I City Jerantut meningkat ekoran sikap segelintir pengunjung yang tidak bertimbang rasa dengan merosakkan harta benda serta tidak menjaga kebersihan kawasan itu.

Setiausaha Majlis Daerah Jerantut Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata, taman itu adalah daya tarikan baru dan lokasi untuk warga daerah ini dan pelancong beriadah.

Menurutnya, taman yang terletak di tengah-tengah bandar itu menelan kos belanja hampir RM400,000 keseluruhannya.

“Setiap bulan, MDJ terpaksa mengeluarkan belanja untuk membaiki semula kerosakan harta benda di kawasan itu.

“Hal ini menyebabkan peruntukan penyelenggaraan bagi kerosakan di tempat lain terjejas gara-gara perlu menyelenggara kerosakan di taman itu," katanya kepada Sinar Harian.
Wan Norizan berkata, setiap bulan pihaknya terpaksa membaiki lampu taman yang pecah, kerusi patah dan menggantikan pokok hiasan yang patah serta mati bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Setiap pagi pula kami terpaksa kutip sisa sampah yang dibuang merata-rata oleh pengunjung.

“Walaupun banyak tong sampah disediakan, namun mereka ini tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan sampah di tempat yang mereka duduk,” katanya.

Menurutnya, dia minta kerjasama pengunjung agar menjaga harta benda dan kebersihan taman supaya bandar ini sentiasa ceria dan bersih kerana daerah ini menjadi tumpuan pelancong yang terkenal sebagai pintu masuk ke Taman Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan