Selasa, 27 November 2012

KHAIRI JAMALUDDIN: Jauh Sekali Meminta-Minta Buat Pemuas Nafsu Haloba

 
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mahu peralihan generasi berlaku di peringkat sayap muda parti teras Barisan Nasional (BN) itu dengan lebih ramai calon pergerakan tersebut diberi peluang bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang sedang berlangsung, Khairy menegaskan, pergerakan itu tidak mendesak apa-apa untuk kepentingan sendiri, jauh sekali untuk meminta-minta buat pemuas nafsu haloba.

"Namun, atas realiti politik masa kini, kita berhasrat agar peralihan generasi ini bukan setakat di atas kertas sahaja.

"Jika realiti politik menunjukkan bahawa orang muda adalah segmen pengundi baru terbesar, bukankah munasabah sekiranya mereka mahukan wakil-wakil dari rakan sebaya mereka juga?" katanya.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN memberitahu, "seafdalnya, biarlah peralihan generasi berlaku di peringkat parti, yang mencerminkan lebih ramai calon-calon Pemuda diberi peluang, pada pilihan raya akan datang."
 
 
Khairy yang mengetuai Pemuda Umno sejak empat tahun lalu berkata, di samping menyumbang keringat berdasarkan kekuatan unik masing-masing, ada di antara ahli-ahli Pemuda yang sesuai diketengahkan selaku pemimpin di persada politik negara.
"Selari dengan niat kita menggunakan kelebihan zaman muda dalam menerajui kepimpinan baru, kita bersuara kerana percaya era Pemuda telah tiba.
"Pola politik mutakhir ini memancarkan petanda yang jelas. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa generasi mudalah kuasa penentu terbesar dalam politik negara," kata Khairy.
Pada tahun lalu, beliau telah menyentuh soal peralihan generasi berlandaskan perubahan pemikiran golongan muda.
"Lewat ini, soal peralihan generasi ini tampak semakin mustahak.
"Dalam asimilasi kita bersama geng muda di peringkat akar umbi, semakin jelas aspirasi mereka yang dahagakan kepimpinan serasi dengan congakan dan sudut pandang mereka," katanya lagi.
Khairy menambah, sebagai orang muda sendiri, sememangnya Pemuda Umno berada dalam kedudukan terbaik untuk benar-benar mencerminkan hasrat dan jiwa mereka.
"Kita yang paling dekat dengan orang muda, kita yang bergaul dengan mereka. Kita yang berada di barisan hadapan memperjuangkan kebajikan anak muda, tidak kira walau di Parlimen, di belakang tabir, di depan tabir, di mana sahaja – demi memastikan setiap dasar Kerajaan adalah dasar yang mesra orang muda," katanya lagi.
Jelas Khairy, beliau yakin bahawa berbekalkan kesedaran dan usaha komited Pemuda, ramai antara "kita memang sudah bersedia untuk memikul cabaran selaku calon pilihan raya."
"Waima begitu, kesetiaan kami tak pernah goyah terhadap keputusan muktamad Presiden.
"Kami sekadar menzahirkan hasrat kami yang membuak kerana cintakan negara, membuak kerana percaya masa kami telah tiba," kata beliau.
Malah kata Khairy, segala apa yang pihaknya usahakan adalah atas dasar kerja, tanggungjawab dan cinta terhadap Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan