Rabu, 15 Ogos 2012

Terkini! Warga Jerman bejaya dikeluarkan dari Taman Negara Jerantut

 
KUANTAN — Tiga lelaki Jerman yang mengalami masalah ketika melakukan ekspedisi ke Gunung Tahan Taman Negara, Jerantut berjaya dikeluarkan dari kawasan itu lewat semalam.
Seorang daripada mereka, Christian Andres, 19, mengalami kesukaran bernafas dan dihantar ke Hospital Jerantut, manakala nama dua lagi rakyat Jerman itu belum diperoleh.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata pelancong Jerman berkenaan tiba ke Taman Negara pada 10 Ogos sebelum memulakan ekspedisi ke Gunung Tahan keesokannya.
“Pada 13 Ogos, ekspedisi yang menggunakan khidmat seorang pemandu pelancong itu mula mengalami masalah apabila seorang daripada warga Jerman berkenaan kebas pada kedua-dua kaki dan tangan selain kesukaran bernafas.
“Mereka cuba mendapatkan bantuan dengan menghubungi polis lewat petang semalam bagi mengeluarkan mereka dari hutan itu,” katanya.
Beliau berkata ekoran itu usaha menyelamat dengan menggunakan helikopter bomba cuba dilakukan, bagaimanapun pendaratan di Gunung Pangkin pagi semalam gagal.
Mereka berjaya dikeluarkan pada pukul 6.30 petang semalam melalui darat oleh pasukan penyelamat, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan