Ahad, 4 November 2012

POLITIK: Mustahil Hadi-Najib lawan di Pekan


SHAH ALAM - Mustahil pemimpin tertinggi kedua-dua Pas dan Umno akan bertanding di Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), kata Pengarah Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Ujarnya, setakat ini belum ada dalam sejarah politik Malaysia pemimpin utama Melayu dalam sesebuah parti bertembung untuk merebut mana-mana kerusi Parlimen.

"Kalau ikut sejarah pemimpin tertinggi parti lawan Melayu sama Melayu tak pernah, Cina ada.

"Kemungkinan berlaku pertembungan ini memang tidak wujud.

"Kalau ia berlaku, ia adalah satu anjakan politik yang luar biasa. Tidak mungkin apabila seseorang sudah berada di kawasan yang selamat untuk pergi ke kawasan yang tidak selamat," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Beliau diminta mengulas kenyataan terbaru Presiden Pas, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang bahawa beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan, yang kini disandang oleh Presiden Umno.
Mengulas lanjut, Mohamad Redzuan berkata, Abdul Hadi  "sekadar acah-acah."

"(Tembung) kosong peratus akan berlaku," tegas beliau.

Menyorot sejarah politik Malaysia, negara pernah menyaksikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bertemu Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwan Chye di Bukit Bendera pada 1999. Kit Siang kalah ketika itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno pernah tewas kepada Yusoff Rawa, dari Pas, di Kota Setar Selatan pada 1969.

Yusoff sekali lagi ketika memegang jawatan Timbalan Presiden Pas menentang dan tewas kepada Dr Mahathir di Kubang Pasu pada 1982.

Presiden MCA, Lee San Choon pernah menewaskan Pengerusi DAP Chen Man Hin pada pilihan raya 1982 di Seremban.

Sementara itu, pemimpin yang boleh dianggap senior dalam Pas, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata, "kalau berlaku (pertembungan), ia adalah satu sejarah politik di Malaysia."

"Menunjukkan perubahan politik sedang melanda Malaysia," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Namun mengulas lanjut, Mahfuz yang merupakan Naib Presiden Pas berkata, beliau yakin apa yang diperkatakan oleh Abdul Hadi sebelum ini hanya untuk menunjukkan ketaatan pemimpin itu kepada parti.

"Dia (jadikan dirinya) contoh. Kalau parti putuskan tanding di Pekan, (untuk menunjukkan ketaatan), dia akur," katanya lagi.

Malah tambah Mahfuz, beliau percaya Abdul Hadi akan bertanding di kerusi Parlimen Marang yang disandangnya kini.  
 

1 ulasan: